suria

Tiga Bebas Tuduhan Pecah Amanah Rebat Tunai Kereta

SHAH ALAM: Seorang kerani dan dua bekas kerani Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan melakukan pecah amanah dengan cara meluluskan pemberian rebat tunai kereta oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad Amirul Helmi Shafie, 23, Shafful Sraffiq Shawar, 31 dan Mohd Fikri Mohpot, 27.

Mohamad Amirul Helmi Shafie dan Shafful Sraffiq Shawar, kedua-duanya bekas kerani Pos Malaysia didakwa meluluskan agihan rebat kereta bernilai RM625 bagi sebuah kenderaan di Pejabat Pos Klang Selatan, Klang dekat sini pada 31 Oktober 2008.

Mohamad Amirul juga menghadapi dua pertuduhan lain meluluskan rebat kereta untuk enam kenderaan bernilai RM3,750 di tempat dan hari yang sama, serta tiga lagi rebat kereta bernilai RM1,875 di Pejabat Pos Rantau Panjang, Klang, pada 14 November 2008.

Mohd Fikri pula didakwa meluluskan rebat kereta bernilai RM625 di Pejabat Pos Klang Selatan pada 5 November 2009.

Sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadia Abdul Rahman sementara ketiga-tiga lelaki itu diwakili peguam Aminuddin Mohd Ramli dan Pritam Singh Deol. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain