suria

Penyertaan Malaysia Pada Pameran Perjalanan Di Stuttgart Berjaya

FRANKFURT: Penyertaan Malaysia sebagai negara rakan pada Pameran Perjalanan Pengguna CMT di Stuttgart pada pertengahan Januari, mencatat kejayaan besar dan mendedahkan negara itu sebagai destinasi untuk dikunjungi, kata pegawai Tourism Malaysia.

Pengarah pejabat Tourism Malaysia Frankfurt, Syed Yahya Syed Othman, berkata penyertaan Malaysia sangat berjaya dan meningkatkan pendedahan negara itu, bukan sahaja dalam kalangan perdagang, malah pengguna keseluruhannya.

Pada temu bual dengan Bernama, beliau berkata Tourism Malaysia menganjurkan lapan subacara pada pameran Stuttgart, termasuk pameran perjalanan yang dihadiri wakil agensi pelancongan utama di negeri Baden-Wuerttemberg.

"Ia merupakan pendedahan terbesar untuk Malaysia pada satu acara. Kami menerima antara 5,000 dan 8,000 pengunjung di pavalion kami setiap hari," katanya.

Beliau berkata Eropah merupakan sumber utama pelancongan ke Malaysia, membabitkan kira-kira 1.5 juta pelawat pada 2010.

Pada separuh pertama 2011, jumlah trafik dari Jerman bagaimanapun susut lima peratus kepada 65,000 berbanding tempoh sebelumnya berikutan bencana alam serta pencemaran nuklear di Jepun yang menyebabkan kebanyakan rakyat Jerman dan Eropah bimbang untuk berada dekat Malaysia.

Selain itu, krisis di Timur Tengah juga menjejaskan perjalanan memandangkan kebanyakan syarikat penerbangan Teluk yang terbang dari Eropah ke Malaysia singgah di negara Arab, lokasi yang kini dielak oleh rakyat Barat.

"Kekerapan ke Malaysia perlu ditingkatkan, kata Reinhard Mayer, seorang ahli perniagaan Jerman yang kerap melancong ke Asia Tenggara.

Banyak ejen dan operator pelancongan di Jerman kecewa terhadap kurangnya kekerapan perjalanan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).

Mereka menyuarakan kekecewaan itu pada pameran CMT Stuttgart, menyatakan akibat kekurangan kekerapan MAS, mereka terpaksa menolak pelancong yang berminat untuk terbang terus ke Malaysia.

"Kami menawarkan Malaysia sejak 12 tahun lepas. Bilangan pelancongan ke Malaysia telah meningkat ... kami menawarkan lebih daripada 10 jenis pakej perjalanan ke Malaysia.

"Namun, saya kecewa kerana MAS mengurangkan bilangan penerbangan ke Malaysia," kata Sinasi Isbir, pemilik syarikat pelancongan yang berpejabat di Munich - Asian Dream.

Beliau berkata MAS akan terbang terus dari Munich dan mudah memenuhi kapasitinya berdasarkan permintaan kukuh yang sedia ada.

Isbir juga berkata Malaysia tidak sepatutnya menumpukan kepada hotel lima bintang, malah turut menawarkan hotel yang mampu ditanggung di resort pelancongan popular seperti Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi.

MAS sebelum ini menawarkan penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Frankfurt, namun mengurangkan bilangan penerbangan kepada lima, dan kini empat penerbangan seminggu.

Juergen Anding, Pengurus Produk (Asia) Airways Travel, Frankfurt berkata empat atau lima penerbangan seminggu itu juga kerap tidak disediakan.

"Saya sudah mempromosi Malaysia hampir 30 tahun. Kami perlukan strategi yang konsisten dan telus daripada MAS," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain