suria

Berita Sedih Untuk Bekas Dekan Tetapi Gembira Untuk Usahawan Wanita

PUTRAJAYA: Bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara(UiTM), Datuk Md Saberi Md Salleh, telah diarahkan oleh Mahkamah Rayuan menjalani hukuman penjara selama setahun di Penjara Kajang.

Md Saberi kalah dalam usaha terakhirnya untuk mengenepikan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam yang mendapati beliau bersalah dan dihukum penjara tiga tahun.

Beliau didapati bersalah memalsukan dokumen di bawah Seksyen 11(c), Akta Anti-Rasuah 1997.

Ketika mengekalkan keputusan didapati bersalah itu, tiga orang panel hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Sulaiman Daud, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohtaruddin Baki, mendapati tertuduh memang mempunyai rancangan untuk menipu pihak universiti.

Bagaimanapun mereka dapati, hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam agak keterlaluan dan mengurangkannya hanya kepada setahun.

Mereka mengambil kira ini adalah kesalahan pertama Md Saberi.

Bagaimanapun pihak mahkamah mengekalkan hukuman denda RM10,000 atau dihukum penjara tiga bulan yang merupakan sebahagian daripada hukuman asal ke atas Md Saberi.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.

Dalam kes yang sama, Mahkamah Rayuan bagaimanapun memberikan berita gembira kepada Zaleha Abd Rahman, 52, yang turut dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM10,000 oleh mahkamah yang sama kerana bersubahat dengan Md Saberi dengan membebaskannya daripada sebarang salah laku.

Ini kerana Hakim Sulaiman berpendapat, pihak pendakwaraya gagal untuk membuktikan bahawa Zaleha, iaitu pemilik sebuah syarikat pembekal alat-alat sukan mempunyai sebarang pengetahuan bahawa Md Saberi berhasrat untuk menipu majikannya.

Pada 15 Oktober 2008, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati Md Saberi bersalah kerana mengaku menerima satu invois bertarikh 4 Mac 1999, untuk satu unit 'Multi-joint 2 AP' (sejenis peralatan sukan) berjumlah RM138,000, sedangkan mengetahui fakulti berkenaan tidak menerima hantaran item tersebut.

Pada 17 Februari 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengenepikan rayuan mereka tetapi membenarkan pengecualian hukuman sementara menunggu mereka membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain