suria

Tingkat Hubungan Pastikan Malaysia Terus Aman:Muhyiddin

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu meminta rakyat mempertingkat hubungan sesama mereka tanpa mengira keturunan, kaum dan agama demi memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara aman dan selamat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat perlu bersatu dan saling bantu membantu dalam memastikan negara mencapai matlamat menjadi negara maju.

Katanya, sebagai contoh, kaum Melayu dan India boleh belajar daripada masyarakat Tionghua mengenai ilmu perniagaan bagi meningkatkan lagi ekonomi mereka.

"Saya percaya masyarakat Cina merupakan masyarakat yang rajin bekerja dan pandai berniaga...orang Melayu dan India boleh belajar dengan mereka, maka Malaysia akan dapat menjadi negara maju," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Grisek di sini malam tadi.

Kira-kira 5,000 anggota masyarakat Tionghua hadir di majlis tersebut yang diserikan dengan tarian singa dan persembahan bunga api.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuat perancangan dan strategi rapi bagi pembangunan sosio-ekonomi rakyat.

Justeru katanya, penting bagi Malaysia untuk terus kekal sebagai sebuah negara yang aman dan selamat agar rakyat negara ini dapat menikmati limpahan pembangunan. - BERNAMA

Artikel Lain