suria

Presma Sedia Bantu Polis Berhubung Dakwaan Seleweng Dana Persatuan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) sedia membantu polis dalam siasatan terhadap dakwaan penyelewengan wang dalam persatuan itu berjumlah hampir RM6 juta.

Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, sehingga hari ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan dari ahli-ahlinya berhubung dakwaan penyelewangan itu.

"Saya dan ahli jawatan kuasa Presma mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada ahli-ahli atas kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan sehingga hari ini dan saya berharap kesemua ahli dapat hadir mesyuarat agung tahunan Selasa depan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.

Beliau mengulas laporan media mengenai satu laporan polis telah dibuat terhadapnya semalam oleh bekas presiden Presma, Datuk Jamarulkhan M.S Kadir atas dakwaan kononnya terdapat salah urus dana berjumlah RM6 juta. Dana itu melibatkan pembayaran bagi ahli-ahli untuk mendapatkan kelulusan untuk membawa masuk 15,000 pekerja asing. - BERNAMA

Artikel Lain