suria

Peningkatan Subsidi Gula Untuk Kurangkan Beban Rakyat:Ismail Sabri

BERA: Langkah kerajaan meningkatkan subsidi gula daripada 20 sen sebelumnya kepada 54 sen bertujuan mengurangkan bebanan rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata dakwaan yang dilemparkan pembangkang kononnya ia bertujuan memancing sokongan rakyat kerana pilihan raya umum dijangka tidak lama lagi merupakan satu tohmahan.

"Itu adalah tohmahan pembangkang dan ia tidak betul kerana ia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Bera di sini, Ahad.

Jumaat lepas, Ismail Sabri berkata kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga gula pada harga RM2.30 sekilogram walaupun harga pasaran dunia telah meningkat. Sehubungan itu, subsidi gula meningkat daripada RM262.41 juta tahun lepas kepada RM567 juta pada tahun ini.

Menteri itu berkata sekiranya subsidi gula tidak dinaikkan, harga bahan mentah itu akan meningkat di pasaran dan ia akan turut mengakibatkan kenaikan harga produk-produk lain.

"Sekiranya ini (harga gula naik) berlaku maka tidak ada gunanya kita (kerajaan) berusaha mengurangkan beban rakyat," katanya.

Ismail Sabri berkata berikutan kenaikan harga gula di pasaran dunia, beliau tidak menolak kemungkinan akan meningkatnya kegiatan penyeludupan gula ke negara jiran dan langkah bagi membendung kegiatan itu akan dipertingkatkan.

Apa yang mustahak katanya setiap rakyat perlu mempunyai rasa tanggungjawab dan cintakan negara dengan tidak melibatkan diri dengan kegiatan yang merugikan rakyat serta negara itu.

"Kesedaran ini kita perlu ada dalam diri, jangan hanya kerana sedikit keuntungan kita jual maruah negara," katanya.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob turut hadir pada majlis rumah terbuka itu yang dihadiri kira-kira 3,000 rakyat pelbagai kaum. - BERNAMA

Artikel Lain