suria

Pembangkang Resah Bantuan Langsung Kerajaan Dihargai Rakyat:Noh Omar

TANJONG KARANG: Pembangkang mula rasa tergugat apabila bantuan langsung kerajaan seperti Bantuan Awal Persekolahan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihargai rakyat, kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata rakyat mula menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan di atas sumbangan yang diterima.

"Bagaimanapun, tindak balas positif yang ditunjukkan rakyat ini tidak digemari oleh pihak pembangkang yang rasa tergugat, dan mendakwa bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan banyak bantuan atas desakan pembangkang," katanya ketika melancarkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) peringkat negeri Selangor, Ahad.

Beliau berkata BN sudah lama memberi bantuan secara langsung kepada rakyat seperti Elaun Saraan Bulanan Nelayan sebanyak RM200 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kira-kira RM300 sebulan kepada golongan miskin, namun tidak ramai yang menyedarinya kerana ia tanpa musim dan bukan hanya dilaksanakan menjelang pilihan raya.

Ini tidak termasuk bantuan secara tidak langsung seperti subsidi kepada pesawah yang berjumlah RM1.2 bilion tahun lepas dan RM2.2 bilion pada tahun ini, katanya.

Mengenai SARA 1Malaysia, Noh berkata ia berbeza dengan skim pelaburan amanah lain kerana kerajaan menanggung faedah yang dikenakan ke atas pinjaman oleh peserta.

Beliau berkata secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk menampung kos faedah pinjaman dan sejumlah RM500 juta di bawah Skim SARA 1Malaysia untuk dipohon 100,000 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan mulai Isnin.

Skim itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Jan lepas dan dikendalikan Malaysian Development Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama empat bank iaitu Maybank, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd serta Bank Simpanan Nasional, yang akan memberi pinjaman kepada pemohon yang layak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Mohd Ismail Siregar Abdullah, yang mewakili Kementerian Kewangan, berkata setiap negeri mempunyai kuota untuk pengagihan skim ini kerana taburan isi rumah yang layak memohon adalah berbeza. - BERNAMA

Artikel Lain