suria

Pasangan Suami Isteri Bersaing Derma Darah

Ku Fazal (kanan) dan isterinya, Suzana (kiri) menunjukkan buku rekod daripada Unit Transfusi hospital yang mencatatkan bilangan derma darah mereka sejak lebih 10 tahun lalu. - Foto BERNAMA
Ku Fazal (kanan) dan isterinya, Suzana (kiri) menunjukkan buku rekod daripada Unit Transfusi hospital yang mencatatkan bilangan derma darah mereka sejak lebih 10 tahun lalu. - Foto BERNAMA
Ku Fazal (kanan) dan isterinya, Suzana (kiri) menunjukkan buku rekod daripada Unit Transfusi hospital yang mencatatkan bilangan derma darah mereka sejak lebih 10 tahun lalu. - Foto BERNAMA

KULIM: Bagi sesetengah individu, aktiviti menderma darah adalah sesuatu yang menakutkan untuk dilakukan tetapi bagi pasangan Ku Faisal Ku Mansor, 33, dan isterinya Suzana Abdul Samad, 32, mereka saling bersaing untuk berbuat bakti sedemikian.

Bekerja sebagai jurujual roti, Ku Faizal telah menderma darah sebanyak 26 kali sejak 1998 manakala isterinya telah menderma 18 kali dalam tempoh lebih 10 tahun lepas.

Ku Faizal mula terbabit dalam kegiatan amal itu ketika isteri majikannya memerlukan bantuan darah manakala Suzana mula berbuat demikian bagi membantu seorang anggotanya keluarga pada 2001, iaitu tahun dia dan suaminya mendirikan rumahtangga.

"Sejak itu kami saling bersaing untuk menderma darah, seolah-olah bertanding siapa yang lebih banyak tapi nyata saya sering tewas kerana saya beberapa kali bersalin melahirkan anak," kata Suzana kepada pemberita ketika dia dan suaminya menderma darah pada program anjuran Rela Daerah Kulim/Bandar Baharu di Kulim Landmark di sini, Sabtu.

Katanya jika tiada masalah, setiap tiga bulan mereka tidak akan melepaskan peluang menderma darah sama ada di hospital atau di mana saja lokasi diadakan program menderma darah.

"Biarlah apa saja pandangan orang terhadap aktiviti kami ini tetapi kami masih mahu menyumbangkan kerja amal ini kepada mereka yang memerlukan," kata Ku Faizal.

Pasangan itu berkata sejak melakukan aktiviti murni itu, kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kesan sampingan malahan mereka sentiasa sihat.

"Prasangka ialah mereka yang sering menderma darah dikatakan badan akan bertambah gemuk dan ada kesan-kesan sampingan lain yang akan timbul tapi sehingga kini dah lebih 10 tahun saya menderma nampaknya biasa saja," kata Suzana.

Wanita itu yang turut menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan berkata masyarakat termasuk wanita sepatutnya menderma darah kerana ia bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi adakalanya nyawa manusia pun dapat diselamatkan.

"Sebagai daripada kalangan yang kurang berada kita tidak memiliki wang ringgit yang banyak untuk menderma dan berbuat kebajikan tapi jika mereka memerlukan bantuan darah, kami tidak akan mengecewakan mereka," katanya.

Pasangan yang mempunyai dua cahaya mata, Ku Mohd Danish, 8, dan Ku Mohd Danial, 5, yang menetap di Taman Selasih di sini, berazam untuk terus "bertanding" menderma darah. - BERNAMA

Artikel Lain