suria

KDN Perluas Transformasi - Hishammuddin

KLUANG: Kementerian Dalam Negeri akan memperluaskan transformasi yang bakal dilaksana di dalam pasukan Ikatan Relawan Malaysia (Rela) kepada agensi lain di bawahnya.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah itu bagi memastikan agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan turut menikmati peningkatan dalam pelbagai aspek seperti Rela.

Diharapkan dengan cara ini dapat menggerakkan gelombang semangat kesukarelawan pada kalangan generasi muda, katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Baru Cina, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Paloh, 40 km dari sini, Ahad.

Sementara itu, mengulas penambahbaikan pada Rela termasuk penggubalan Akta Rela yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishammuddin berkata keputusan tersebut bagi meremajakan Rela dalam menghadapi ancaman baru.

"Peranan Rela pada masa depan bergantung kepada peranan dan hala tuju Rela sekarang," katanya.

Mengulas isu berbeza, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno, berkata beliau ingin tahu pendirian sebenar pakatan pembangkang berhubung Israel susulan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai komitmennya untuk mempertahankan rejim zionis itu sebagai sebuah negara.

Anwar dilapor membuat kenyataan itu ketika ditemu bual Wall Street Journal.

"Kalau di sana (Anwar) cakap lain dan di dalam negara dia cakap lain, jadi saya nak tahu apa pendirian rasmi PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP dan PAS dalam hal ini," kata Hishammuddin. BERNAMA

Artikel Lain