suria

JKKK Perlu Agih Peruntukan Kepada Badan Di Bawah Naungannya:Liow

BENTONG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mendapat peruntukan kerajaan dan wakil rakyat perlu mengagihkan sebahagian daripada peruntukan itu kepada badan-badan yang bernaung di bawahnya.

Anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata walaupun kebiasaannya JKKK yang membuat permohonan, ia tidak bermakna keseluruhannya milik JKKK dan ia perlu diagihkan.

"Apabila peruntukan itu diberikan, JKKK perlu mengurusnya dengan baik supaya setiap badan naungannya mendapat bahagian masing-masing untuk menjalankan aktiviti.

"Ini kerana badan-badan yang bernaung di bawah JKKK turut berperanan dalam pembangunan dan kesejahteraan penduduk di sesuatu kampung dan kawasan," katanya pada majlis ramah mesra bersama Belia Felda Sertik, Bentong pada Sabtu.

Liow yang juga Menteri Kesihatan menjelaskan persatuan belia tidak terkecuali daripada mendapat peruntukan untuk menjalankan program serta aktiviti bermanfaat dan jika mereka berdepan masalah mendapatkan peruntukan, permohonan boleh dikemukakan menggunakan nama persatuan belia itu sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain