suria

Ibu Maut Dilanggar Kereta Ketika Keluar Cari Anak

MELAKA: Seorang wanita maut dilanggar sebuah kenderaan ketika keluar untuk memanggil dua anaknya yang tidak pulang ke rumah hingga lewat malam, berhampiran Rumah Pangsa Cheng Mutiara, di sini tengah malam Jumaat.

Mayat Rosmariah Mohamad, 34, yang tercampak ke dalam longkang berhampiran rumah pangsa itu, dijumpai penduduk kawasan berkenaan yang memaklumkan kepada suami wanita itu kira-kira pukul 8 pagi Sabtu.

Rosmariah dikatakan keluar dengan berjalan kaki kira-kira pukul 12 tengah malam bagi mencari anaknya Mohd Shazurin Farhan Samad, 15, dan Mohd Syazrul Fahmi, 12, yang bermain futsal di sebuah pusat sukan, kira-kira 500 meter dari rumah mereka pada pukul 10.30 malam.

Suami mangsa, Samad Saliman, 37, ketika ditemui berkata, dia hanya menyedari ketiadaan isterinya apabila terjaga daripada tidur pada pukul 4 pagi.

"Saya keluar mencarinya di merata tempat tetapi tidak jumpa...saya balik semula kira-kira pukul 5 pagi dan ketika saya sedang bersiap untuk keluar mencarinya semula pukul 8 pagi ini, saya dimaklumkan jiran bahawa ada mayat di dalam longkang," katanya.

Samad berkata, hampir setiap hari kedua-dua anaknya itu bermain futsal di pusat sukan berkenaan dan adalah menjadi kebiasaan bagi isterinya mencari dan memanggil anak mereka pulang apabila sudah lewat malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superitendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kes itu diklasifikasi sebagai langgar lari dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal Unit Forensik mendapati cermin sisi kenderaan yang dipercayai melanggar wanita itu tercabut dan beberapa pokok turut patah," katanya ketika dihubungi.

Mayat Rosmariah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain