suria

NFCorp Tidak Seleweng Dana RM250 Juta

KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp), Wan Shahinur Izmir Salleh menyifatkan dakwaan wujudnya penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM250 juta bagi pembinaan Pusat Fidlot Nasional (PFN) adalah tidak benar dan mustahil berlaku.

Beliau berkata, dana berskala besar itu diberi kerajaan menerusi perjanjian pinjaman yang perlu dibayar balik dalam tempoh 20 tahun dengan kadar faedah dua peratus setahun.

Jelas beliau, isu keluarganya menyalahguna dan menyeleweng dana berkenaan adalah mustahil kerana seluruh kaum keluarganya akan menanggug beban hutang yang besar sekiranya dakwaan berkenaan berlaku.

"Kami pinjam daripada kerajaan dan setiap sen perlu dibayar balik. Besar pinjaman itu...RM250 juta.

"Kalau kami berfoya-foya, main-main tak tentu arah...turun-temurun anak beranak saya akan hancur. Lingkup kalau tak boleh bayar balik pinjaman ini. Ini komitmen kita kepada kerajaan," katanya pada sesi taklimat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelab Sultan Sulaiman di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tuduhan pembangkang sebelum ini bahawa projek PFN gagal mencapai sasaran berikutan penyelwengan yang dilakukan syarikat NFCorp milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

NFCorp dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Menjelaskan lanjut, Wan Shahinur Izmir berkata tuduhan penyelewengan oleh pembangkang merupakan sesuatu yang tidak munasabah dilakukan kerana NFCorp mempunyai perjanjian sah dengan kerajaan bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Kalau pembangkang cakap kami seleweng duit, itu tidak munasabah sebab duit itu dipinjam dengan perjanjian.

"Soal penyelewengan tidak timbul kerana kita ada perjanjian (dengan kerajaan). Kita memang perlu bayar balik," tegas beliau.

Selain itu Wan Shahinur Izmir turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa beliau memiliki sebuah kereta mewah serta menerima pendapatan bulanan mencecah RM40,000.

"Pembangkang kata saya ada Ferrari, duduk dalam Ferrari pun tak pernah. Mereka juga kata saya dapat gaji RM40,000 sebulan...Alhamdulillah kalau betul," katanya.

Wan Shahinur Izmir yang tiba lewat dua jam daripada waktu yang dijadualkan meluangkan masa kira-kira 20 minit memberi taklimat kepada 25 NGO yang hadir.

Bagaimanapun beliau enggan menerima sebarang pertanyaan daripada pihak wartawan kerana tidak menjangkakan majlis berkenaan turut dibuka kepada media.

"Maaf saya tidak boleh buat apa-apa kenyataan media hari ini, saya hanya beri penjelasan kepada NGO," katanya sebelum bergegas meninggalkan majlis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain