suria

Tingkatkan Usaha Strategik Tawan Semula Lembah Pantai:TPM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) bahagian Lembah Pantai agar meningkatkan usaha secara strategik untuk menawan semula kawasan berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata usaha yang tersusun, terancang dan rapi adalah penting dalam situasi masa kini yang agak mencabar terutama dengan sikap putar belit pihak pembangkang.

"Ketika ini usaha sedang dimulakan. Dalam situasi sekarang ini beberapa isu dan masalah yang timbul mudah digunakan oleh pembangkang.

"Mereka guna pelbagai cara terutama media sosial untuk sebar dakyah, bidaah dan fitnah kepada BN. Apa saja yang kita buat mereka putar belit untuk tunjukkan segala usaha yang kita buat tidak memberi manfaat kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang bersama Jentera Induk Pilihan Raya BN Lembah Pantai di sini, Jumaat.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN Wilayah Persekutuan, berkata pembangkang kini terlalu ghairah dan merasakan angin pilihan raya sudah bertiup kencang, serta yakin rakyat sudah mahu berubah selera untuk menyokong mereka.

Justeru, katanya jentera BN perlu menghadapi cabaran ini dengan berani kerana BN boleh menjelaskan semua isu dan perkara yang dibangkitkan pembangkang terutamanya berkaitan kerajaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

3,996 Calon Lulus STAM 2011

Artikel Lain