suria

Kerajaan Tak Bersikap Raih Undi Tetapi Korbankan Kepentingan Negara - Najib

KANGAR: Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil sikap mencari keuntungan jangka pendek seperti meraih undi untuk pilihan raya tetapi mengorbankan kepentingan negara bagi jangka masa panjang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perancangan yang berdasarkan kepada pertimbangan semasa termasuk membuat pelbagai janji adalah semata-mata mahu meraih undi daripada rakyat tetapi ia boleh membawa kepada kehancuran ekonomi sesebuah negara.

Katanya dalam mahu meraih sokongan rakyat, kerajaan tidak akan mengambil sikap tidak bertanggungjawab dengan berjanji melakukan segala-galanya seperti yang dilakukan pembangkang.

"(Kalau dah berjanji) apabila hendak melaksanakannya mungkin kita akan senasib, sebaris dengan beberapa negara lain (negara-negara Eropah yang berhadapan dengan masalah ekonomi ketika ini).

"Kita bukan hanya nak raih sokongan dalam pilihan raya tetapi merosakkan kepentingan negara pada keseluruhannya. Kita tadbir negara dengan cekap, membina kekuatan dan kemudian beri keuntungan kepada rakyat," katanya pada Majlis Mesra Rakyat 1Malaysia di Dewan Simpang Empat di sini, Jumaat.-BERNAMA

Artikel Berikut

3,996 Calon Lulus STAM 2011

Artikel Lain