suria

Kerajaan Luluskan Pembinaan Lebuh Raya Baru 316km Banting-Taiping

PETALING JAYA: Anak syarikat Kumpulan Europlus Bhd (KEuro) - West Coast Expressway Sdn Bhd telah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk membina lebuh raya baru sepanjang 316km yang menghubungkan Banting di Selangor dan Taiping dengan kos pembinaan bernilai RM7.07 bilion.

KEuro dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia menyebut bahawa mereka telah menerima surat kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan projek mega itu.

Adalah difahamkan, laluan sepanjang 224km akan dikenakan tol manakala baki 92km lagi akan dibuka secara percuma kepada awam.

Untuk menjadikan projek tersebut berdaya maju, KEuro berkata, Kerajaan akan menyediakan kemudahan pinjaman berjumlah RM2.24 bilion mulai 2013 dengan kadar faedah 4% setahun.

KEuro berkata, pendapatan daripada kutipan tol akan dikongsi berasaskan kepada nisbah 70:30 di antara kerajaan dengan West Coast Expressway sehinggalah pembayaran pinjaman selesai.

Selepas itu, nisbah perkongsian kutipan tol akan berubah kepada 30:70.

KEuro juga berkata, kos pengambilan tanah yang ditafsirkan berjumlah RM980 juta akan ditanggung oleh kerajaan manakala kerja-kerja pembinaan akan dilakukan oleh West Coast Expressway melalui tender terbuka.

Artikel Berikut

3,996 Calon Lulus STAM 2011

Artikel Lain