suria

Dr Mahathir Terima Anugerah Doktor Kehormat

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dianugerah doktor kehormat sains politik oleh Universiti Naresuan di sini, Jumaat.

Pengerusi Majlis Universiti Naresuan Prof Dr Krasae Chanawongse dalam ucapan penghargaan berkata pemberian anugerah itu sebagai pengitirafan terhadap sumbangan sepanjang hayat Dr Mahathir untuk mengwujudkan semangat keperibadian nasional dan bangga terhadap negara di kalangan rakyat Malaysia.

Ia sebagai mengitiraf kedudukan beliau yang merupakan seorang pemimpin luar biasa di peringkat Asia Tenggara, katanya.

Presiden universiti itu Prof Dr Suhjin Jinahyon menyampaikan anugerah kehormat tersebut kepada Dr Mahathir di satu majlis penyampaian di sebuah hotel di sini.

Ini merupakan pertama kali universiti itu yang mempunyai kampus utama di Phitsanulok, memberikan anugerah tersebut kepada seorang rakyat Malaysia.

Universiti itu mengambil sempena nama Raja Naresuan diasaskan sebagai sebuah kolej pendidikan pada tahun 1967 yang kemudian menjadi sebahagian daripada kampus Universiti Srinakharinwirot tahun 1974 sebelum secara rasmi diberi status sebagai sebuah universiti pada 29 Julai 1990.

Dr Mahathir dalam ucapan menerima anugerah, melahirkan penghargaan ikhlas beliau kepada universiti itu kerana anugerah tersebut.

Sambil memuji visi dan misi universiti itu untuk bertukar menjadi penyuluh ilmu pengetahuan, beliau berkata budaya mencari ilmu sepanjang hayat perlu disemai dalam fikiran siswazah kerana dunia kini bergerak menuju ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Dalam dunia hari ini, pembelajaran sepanjang hayat adalah mustahak kerana penyelidikan yang berterusan membawa kepada ilmu pengetahuan dan penemuan baru," katanya.

Dr Mahathir berkata dengan adanya pengetahuan baru lahirlah inovasi, kepintaran dan bertambahnya daya pengeluaran yang akhirnya menyumbang secara langsung terhadap proses pembangunan negara.

"Kita perlu belajar daripada contoh ditunjukkan oleh Ibnu Sinna dan Al-Khawarizmi di bidang perubatan dan matematik dan yang terbaru sekali kita perlu meniru dayacipta dan inovasi oleh Mark Zuckerberg dan mendiang Steve Jobs," katanya.

Dr Mahathir berkata ciptaan dan fikiran inovasi mereka telah merubah secara langsung dan tidak langsung kehidupan berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Bekas Perdana Menteri itu berkata adalah jelas pelajaran hendaklah dijadikan sebagai jentera kepada perubahan, penguasaan dan pembebasan.

Beliau berkata menerusi idea kreatif mereka, Mark Zuckerberg dan Steve Jobs berjaya menukar gaya kehidupan orang ramai di samping beruntung menjadi jutawan hasil daripada inovasi mereka sendiri.

Dr Mahathir memberikan contoh Thomas Elva Edison, yang mencipta mentol lampu sering dikaitkan dengan penciptaan makmal penyelidikan perindustrian yang pertama di abad ke 19.

Beliau berkata Thomas membuat ujian lebih seribu kali sebelum berjaya menyempurnakan ciptaannya.

"Dalam kajiannya, dia tidak gagal dalam ujiannya itu kerana belajar daripada beribu kesilapan untuk mencipta mentol lampu. Inilah sebenarnya semangat yang diperlukan di zaman moden ini, yang pasti akan menguntungkan manusia keseluruhannya," kata Dr Mahathir.

Hadir sama di majlis tersebut ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain. -BERNAMA

Artikel Berikut

3,996 Calon Lulus STAM 2011

Artikel Lain