suria

Tiga Sekeluarga Mati Diserang Sekumpulan Lelaki Di Semporna

KOTA KINABALU: Tiga sekeluarga mati selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah rumah kongsi pekerja ladang sawit di Kalumpang, Semporna pada Ahad lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata tiga sekeluarga berbangsa Suluk itu dikenali sebagai Jaafar, 70, anaknya Ismail, 50, dan isterinya Salmiah Iran, 46.

Empat lagi anggota keluarga mangsa yang berada di dalam rumah itu ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri, katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Hamza berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, sekumpulan lelaki dikatakan datang ke rumah mangsa menaiki lori sebelum menyerang keluarga berkenaan menggunakan senjata tajam termasuk parang.

Katanya seorang daripada penyerang turut mati setelah cedera semasa bergelut dengan mangsa.

Beliau berkata polis menemui mayat Jaafar dan Ismail di dalam rumah berkenaan manakala mayat Salmiah ditemui pada kira-kira 3.40 pagi keesokan harinya tidak jauh dari rumah itu.

Hamza berkata mayat seorang daripada anggota kumpulan yang menyerang keluarga itu ditemui di Kampung Tagasan, Semporna. Katanya polis menemui lima bilah parang yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan.

Berikutan itu, katanya polis menahan tiga lelaki berusia 20 tahun hingga 40 tahun dengan seorang daripada mereka disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian itu.

Hamza berkata polis sedang memburu sembilan lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh itu. Motif pembunuhan masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain