suria

Suri Rumah Didakwa Dera Bayi Dalam Jagaan

SHAH ALAM: Seorang surirumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan menganiaya dengan mendatangkan kecederaan ke atas seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang berada dalam jagaannya pada tahun lepas.

Siti Rugayah Shaik Ismail, 33, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Syahida Zainal.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No: 37 Jalan Kristal 7/62A, Seksyen 7, di sini antara pukul 9 pagi hingga 6 petang pada 8 April 2011.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nurul Syahida membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya R. Hemavathi manakala Siti Rugayah diwakili peguam Mohammad Hafiz Zainol Abidin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain