suria

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Dua Pistol Palsu Di JB

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol palsu dalam pemeriksaan di sebuah bilik hotel di Jalan Permas 10, Permas Jaya di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan rompak dan curi.

"Dalam pemeriksaan pada pukul 10.20 pagi itu, polis menemui sepucuk pistol semi auto dipercayai palsu, sebilah pisau pemotong, satu pita hitam, leraian bahagian pistol semi auto dan satu bateri pistol yang sedang dicas," katanya.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, Khamis, beliau berkata, lelaki itu kini direman selama lima hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api.

Sehari sebelum itu, seorang lelaki ditahan dan sepucuk pistol palsu turut dirampas dalam pemeriksaan terhadap dua lelaki yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di bandar raya ini.

Mohd Mokhtar berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg sandang yang dibawa lelaki itu menemui sepucuk pistol tanpa kelopak yang bertulis 'United States Property 856918' yang menyerupai pistol sebenar, satu beg hitam, lapan anak kunci, sehelai topeng ski warna hitam dan satu telefon bimbit. "Semasa diperiksa, lelaki itu bertindak agresif dengan cuba menyerang polis dan merampas pistol polis, menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai kakinya.

"Rakan lelaki itu berjaya melepaskan diri," katanya sambil menyatakan kes itu disiasat Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh orang dan polis kini sedang memburu rakan lelaki itu yang melarikan diri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain