suria

Pengurusan Tidak Amanah Punca Kegagalan Koperasi:Tun Mahathir

ALOR SETAR: Sikap tidak amanah anggota atau pihak pengurusan menjadi punca utama kegagalan perniagaan berkonsepkan koperasi di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya difahamkan ada lebih 8,000 koperasi di negara ini tapi hanya 20 peratus daripadanya yang dapat menjalankan perniagaan dengan cara yang baik.

"Kalau ada koperasi tidak berjaya, bila diselidik ada masalah tadi (tidak amanah). Apabila terima tanggungjawab, hendaklah tunaikan dengan sempurna," katanya pada sesi Bicara Tokoh bersama beliau sempena Tahun Koperasi Antarabangsa 2012 di sini, Khamis.

Beliau berkata amat sukar untuk mencari individu yang benar-benar jujur kerana ramai yang tidak amanah dan gelap mata apabila berurusan dengan wang.

Katanya dalam aspek pengurusan wang, perlu ada kecekapan dalam kalangan pihak pengurusan serta anggota koperasi kerana ia akan menentukan kejayaan sesuatu perniagaan.

Dr Mahathir berkata perniagaan berkonsepkan koperasi bukanlah mudah untuk diuruskan kerana ia terpaksa bergantung kepada orang yang sanggup bekerja tanpa bayaran yang tinggi.

Katanya untuk mendapatkan keuntungan, kos pengurusan perlu dikurangkan dan kadang-kadang terpaksa menggunakan pegawai sukarela yang mungkin tidak cekap dalam bidang perniagaan.

"Dalam perniagaan, kecekapan sangat penting dan kalau tiada kecekapan, kita akan rugi... kita dapati banyak perniagaan koperasi jarang dapat keuntungan kerana kurang kecekapan," katanya.

Ketika ditemui pemberita, Dr Mahathir berkata terlalu banyak peluang untuk bumiputera menjalankan perniagaan dan jika ia digunakan sebaiknya mungkin 60 peratus bidang ekonomi sudah dapat dikuasai kaum Melayu khususnya.

"Kita bagi peluang untuk orang Melayu bumiputera berniaga dalam bandar dengan adakan sistem francais sebab nak buat sendiri tak tahu, kita jemput orang Melayu ambil bahagian, modal tak besar, promosi pun dah ada.

"Tapi mereka tak minat barang kali sebab perniagaan kecil, untung pun kecil, mereka nak besar tapi kalau tak mahu yang kecil, sampai bila pun kita jumpa akan peniaga Cina saja," Dr Mahathir.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan perlu berusaha mencari pasaran lain yang lebih baik selain Eropah ekoran kelembapan ekonomi di benua itu pada masa ini.

Beliau berpendapat Eropah tidak akan pulih semula buat beberapa tahun lagi dan sudah tidak boleh bersaing dengan negara seperti China, Jepun dan Korea.

"Eropah jadi rakan dagang kita, dia berdagang dengan kita sebanyak lebih 20 peratus, kalau dia tak dak duit nak beli barang kita, kita tak boleh nak dapat keuntungan.

"Kalau tak berjaga-jaga, tak kerja kuat cuma minta gaji lebih keluaran tak meningkat kita akan jadi macam Eropah, ini pada pendapat saya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain