suria

Latihan Dua Jam Sehari Tingkat Keupayaan, Kebolehan ATM

GEORGE TOWN: Konsep latihan dua jam sehari yang dilaksanakan oleh setiap pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertujuan meningkatkan tahap daya tempur dan siap siaga setiap anggota dalam menjamin kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Azizan Md Delin berkata konsep yang terkandung di bawah falsafah 'balik kepada asas' itu juga bertujuan mengeratkan persefahaman antara anggota dan pegawai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka di kawasan operasi.

"Setiap hari hanya dua jam diperuntukkan, dan setiap anggota dan pegawai tiada alasan untuk tidak ikut serta kerana apa juga urusan mesti ditangguhkan seketika bagi mengikuti latihan ini.

"Latihan begini bukan baru malah ia telah dilakukan sejak dulu lagi tapi sekarang ini kita perkasakannya lagi bagi meningkatkan daya tempur setiap anggota dan pegawai dalam tugas menjaga kemakmuran dan keharmonian negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian hari ulang tahun ke 43, 2 Divisyen dan penyampaian anugerah kecemerlangan di sini, Khamis.

Majlis itu turut diserikan dengan acara perbarisan diketuai oleh Pegawai Memerintah 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Lt Kol Zamran Hashim dengan kekuatan 18 pegawai dan 351 anggota lain-lain pangkat.

Katanya latihan itu juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dalam sesebuah organisasi kerana sering ada pertemuan.

Azizan berkata bermula pada awal Januari tahun ini juga Jawatankuasa Latihan Tentera Darat (JLTD) telah meluluskan latihan kolektif dalam tempoh 24 bulan berbanding 18 bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, latihan 18 bulan yang sedia ada akan diteruskan sehingga 30 Jun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain