suria

Kereta Ditinggalkan Dengan Enjin Masih Hidup Di Depan Rumah Dilarikan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tergamam apabila melihat keretanya yang ditinggalkan dengan enjin masih hidup hanya untuk mengunci pagar rumahnya di Bangsar di sini, dilarikan seorang lelaki, Khamis.

Ketika kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, wanita berusia 30 tahun itu keluar dari rumah untuk ke tempat kerja.

Sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki berhenti di belakang kereta wanita itu, seorang daripadanya keluar dari kereta terbabit dan dengan pantas masuk ke dalam kereta wanita itu lalu melarikannya, kata Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Superitendan, Wan Bari Wan Abdul Khalid.

"Mangsa sebelum itu mengeluarkan kereta jenis Peugeot itu dari parkir rumah dan meletakkannya di luar pagar untuk mengunci pagar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan wanita berkenaan kehilangan beg tangan dan komputer riba yang diletakkan di tempat duduk penumpang keretanya.

Sehubungan itu, Wan Bari menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan kereta mereka dalam keadaan enjin masih hidup.

"Jangan biarkan kunci kereta kita berada di dalam kereta kerana kita tidak tahu siapa yang sedang memerhatikan kita dan kalau boleh setiap kali keluar rumah pastikan terlebih dahulu keadaan di sekeliling kita bagi memastikan tiada orang yang mencurigakan.

"Ingin saya nasihatkan juga terutamanya kepada wanita agar tidak meletakkan beg tangan atau barangan berharga di tempat yang terlalu terdedah seperti di tempat duduk penumpang kerana ia hanya mengundang kepada jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain