suria

Kerajaan Persekutuan Mahu Cadangan Naik Taraf Jalan Utama Sarawak Dinilai

KUCHING: Kerajaan Persekutuan mengarahkan Jabatan Kerja Raya Sarawak supaya membuat penilaian terhadap cadangan untuk membina 95 lorong memotong di jalan utama di negeri ini antara Kuching dan Miri.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin pada Khamis berkata, cadangan itu, yang dikemukakan tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kos lorong memotong itu sebanyak RM400 juta.

"Terdapat kemungkinan bagi cadangan itu diluluskan. Saya fikir RM400 juta bukanlah jumlah yang besar kepada kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pendidikan Keselamatan Jaan Raya (RSE) bagi pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) peringkat negeri di sini, Khamis.

Beliau berkata jumlah yang dicadangkan itu hanyalah sebahagian kecil daripada anggaran RM16 bilion yang diperlukan dalam usaha menaiktaraf lebih 900km jalan utama dua hala kepada jalan berkembar.

"Jika kita berjaya mendapatkan (dana bagi pembinaan lorong memotong) diluluskan sungguhpun secara berperingkat, banyak nyawa yang boleh diselamatkan sepanjang jalan utama," katanya.

Sementara itu, Manyin berkata satu kajian akan dijalankan berhubung kesan Permainan Lalu Lintas Shell ke arah keberkesanannya dalam menambah baik tabiat pemanduan peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu.

Beliau berkata Shell Malaysia telah berikrar tahun lepas untuk membiayai kajian berkenaan dan sebaik sahaja diperoleh, sebuah pasukan terdiri daripada pakar dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan sebuah universiti tempatan akan ditubuhkan untuk melaksanakannya.

Manyin berharap kajian itu akan turut diperluaskan supaya merangkumi pelatih PLKN yang telahpun mengikutinya program RSE.

Beliau berkata program RSE diterajui oleh kem PLKN di Sarawak pada 2007 dan setakat ini disertai oleh 35,200 pelatih.

"Sehingga kini, kami belum meneliti kesan daripada latihan yang mereka (peserta) peroleh sama ada daripada Permainan Lalu Lintas Shell atau program pendidikan keselamatan jalan raya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain