suria

Tiada Gambaran 'Kucar-kacir' - NFCorp

PETALING JAYA: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) menegaskan bahawa Ketua Audit Negara tidak pernah memberi gambaran bahawa syarikat itu berada dalam situasi 'kucar-kacir' menerusi laporan audit 2010.

Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh berkata, perkataan 'kucar-kacir' telah digunakan dan diputar-belit oleh pihak-pihak tertentu bagi mewujudkan kekeliruan serta menjejaskan imej NFCorp.

"Tiada di mana-mana bahagian dalam laporan audit 2010 menyatakan Ketua Audit Negara mentafsirkan NFCorp berada dalam keadaan kucar-kacir.

"Jelas sekali kritikan bahawa projek ini berada dalam situasi kucar-kacir adalah tidak tepat," katanya di sini, Rabu.

Dalam pada itu Wan Shahinur Izmir menasihatkan agar orang ramai membaca laporan Ketua Audit Negara yang kini dimuatkan dalam laman web jabatan itu bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

selain itu NFCorp juga mengalu-alukan usaha kerajaan untuk melantik firma perunding untuk mengendalikan proses pengauditan terhadap projek ternakan lembu yang diuruskan oleh NFC.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober tahun lalu menunjukkan bahawa projek itu tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ia melaporkan bahawa projek RM74 juta NFC di Negeri Sembilan tidak diuruskan dengan baik dan menghasilkan 3,289 ekor lembu yang merupakan hanya 41.4 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan.

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Lain