suria

Ribut Di Chemor: 18 Rumah Rosak Teruk

IPOH: Sebanyak 18 rumah rosak teruk manakala empat lagi serta sebuah sekolah agama rakyat (SAR) hampir ranap dihempap pokok besar apabila ribut melanda Kampung Ulu Chemor dekat sini hampir dua jam, malam Isnin.

Bumbung sebahagian besar rumah terbabit rosak ekoran angin kencang sehingga diterbangkan dalam kejadian ribut yang bermula pukul 7 malam hingga 9 malam.

Seorang murid SAR al-Ansari Ulu Chemor, Ubaidilah Mohd Zamri, 12, pula cedera di muka akibat terkena batu yang melayang ketika melarikan diri dalam keadaan hujan lebat selepas bumbung sekolahnya diterbangkan angin.

"Kami berehat dalam bangunan sekolah, tiba-tiba semua bumbung bangunan tercabut dan diterbangkan angin, kami lari lintang-pukang menyelamatkan diri pada itu, dan saya merasakan ada sesuatu terkena muka saya," katanya yang hanya merawat lukanya dengan minyak gamat.

Tidak lama selepas itu, sebatang pokok besar pula tumbang dan menimpa sekolah berkenaan serta empat rumah lain yang berhampiran.

Seorang penduduk, Mohd Nozaini Razali, 58, yang tinggal di kampung itu hampir 40 tahun, menyifatkan kejadian sedemikian pertama kali berlaku.

"Sebelum ini, kampung ini memang selalu dilanda angin kencang dan banjir kilat, tetapi ribut seperti ini belum pernah berlaku. Apabila hujan lebat kira-kira pukul 7 malam kami rasa biasa saja, sehinggalah bila merasakan angin bertambah kencang serta mendengar bunyi dentuman pokok tumbang," katanya.

Mohd Nozaini berkata mereka yang terbabit tidak tidur sepanjang malam kerana membersihkan rumah yang dipenuhi sampah serta air hujan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta Datuk Rusnah Kassim berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kira-kira RM50,000 bagi memperbaiki rumah yang rosak dalam kejadian tersebut.

"Sebahagian daripada kos itu, iaitu kira-kira RM30,000 akan dibantu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta menerusi dana bantuan bencana alam yang diperuntukkan oleh pejabat berkenaan," katanya sambil menambah pihknya meminta bantuan Jabatan Pertahanan Awam Perak untuk menebang pokok tua yang berisiko menghempap kediaman apabila berlaku ribut.

Beliau berkata pihaknya juga berusaha mencari tempat sesuai untuk dijadikan penempatan sementara keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Lain