suria

Karpal Kemuka Rayuan Perintah Bela Diri Pertuduhan Menghasut

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan beliau membela diri terhadap pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam satu sidang akhbar pada 2009.

"Notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pagi ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Beliau berkata rayuan itu, antara lain, mengemukakan alasan hakim Mahkamah Rayuan bertindak melebihi bidang kuasa dan terdapat salah arah ketika perintah tersebut diputuskan.

Pada 20 Januari lepas, panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Ma'arop sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas serta membebaskan pengerusi kebangsaan DAP itu daripada pertuduhan berkenaan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Ahmad, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, memutuskan pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Karpal Singh.

Beliau yang mengambil masa dua jam membacakan penghakiman itu berkata, apa yang dikatakan oleh Karpal Singh dalam sidang akhbar itu ialah rasa tidak puas hati terhadap Sultan Perak.

Hakim Ahmad berkata kenyataan Karpal Singh itu telah mencemarkan kehormatan Sultan dan juga mengakibatkan konflik peradaban antara hubungan rakyat dan raja.

Pada 11 Jun 2010, Karpal dibebaskan daripada pertuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini, antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Feb 2009.

Dia didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Karpal didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Lain