suria

Gagal Pamer Tambang Penuh, AirAsia X Akan Bertemu Pihak Berkuasa Australia

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman Rani menyifatkan tindakan undang-undang yang dikenakan Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) ke atas syarikat itu kerana gagal mempamerkan kadar tambang penuh di laman sesawangnya sebagai perkara kecil.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu bagaimanapun berkata, AirAsia X akan mengadakan pertemuan dengan ACCC dalam tempoh segera.

"Kami akan bertemu dengan ACCC bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai perkara tersebut. Kami pun tak tahu apa isu sebenarnya.

"Kami akan menetapkan satu tarikh untuk bertemu dengan ACCC kerana mereka sedang bercuti ketika ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Menurut laporan portal The Australian (http://www.theaustralian.com.au) pada Selasa, ACCC yang merupakan pemerhati pengguna negara itu mendakwa beberapa tambang yang dijual menerusi laman web AirAsia tidak mempamerkan harga sebenar termasuk bayaran cukai, duti, yuran dan bayaran mandatori lain.

"Perniagaan-perniagaan yang memilih untuk mengiklankan sebahagian daripada harga produk mestilah memperincikan setiap jumlah harga," kata ACCC yang dipetik The Australian.

Badan pemerhati itu berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu di Mahkamah Persekutuan Australia dan sedang meneliti sama ada AirAsia tidak mematuhi undang-undang kepenggunaan di negara terbabit.

ACCC turut mengarahkan AirAsia supaya mengeluarkan notis mengenai kegagalan syarikat itu untuk mempamerkan harga sebenar bagi setiap penerbangan di laman webnya.

Dakwaan harga-harga tambang itu turut melibatkan penerbangan dari Melbourne, Gold Coast dan Perth ke beberapa destinasi di Asia, Eropah dan India.

AirAsia X pada Selasa lalu mengumumkan bakal melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sydney setiap hari selepas menggantung penerbangan ke London dan Paris.

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Lain