suria

Fifi Ramadani Makin Stabil

KUALA LUMPUR: Keadaan Fifi Ramadani Syafrudin, 10, kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa tebusan seorang lelaki bersenjatakan pisau di Kampung Baru pada Isnin dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederan serius.

Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Santi, 29, berkata hanya terdapat kesan calar pada leher anak sulungnya yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dia berkata anaknya juga beransur pulih daripada perasaan ketakutan, dan sudah mula bercakap berikutan rawatan kaunseling dan nasihat yang diberikan oleh doktor kepada anaknya bagi meredakan trauma dialaminya.

"Semalam selepas kejadian, anak saya masih dalam ketakutan dan enggan bercakap walaupun dengan saya. Fifi hanya mendiamkan diri dan tidak menunjukkan sebarang reaksi," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Santi berkata anaknya hanya mula bercakap malam tadi lalu terus menghubungi suami saya untuk bercakap dengan Fifi.

"Fifi juga tidak tidur semalaman, dan dia hanya dapat melelapkan mata tengah hari tadi. "Mungkin dia baru terasa letih agaknya," katanya yang masih sedih mengenangkan kejadian yang tidak diduga semalam.

Semalam seorang lelaki berumur 34 tahun yang berbogel dan tidak dikenali memasuki rumahnya pada pukul 10 pagi lalu mengambil sebilah pisau dari dapurnya, dan terus ke sebuah bilik di mana Fifi sedang bermain dengan sepupu dan kawannya, dan menjadikan Fifi sebagai tebusan.

Kejadian itu berakhir pada pukul 4 petang apabila polis bertindak menembak lelaki yang berasal dari Sabah setelah pelbagai usaha memujuknya menemui jalan buntu, dan lelaki itu bertindak semakin agresif.

"Saya amat bersyukur anak saya berjaya diselamatkan. Semasa kejadian saya terlalu runsing dan apa yang pasti sebagai ibu, pelbagai perkara buruk terlintas difikiran saya. Apatah lagi saat mendengar bunyi tembakan yang dilepaskan oleh pihak polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata pihak polis masih meneruskan siasatan dan sedang menunggu laporan bedah siasat ke atas suspek.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya bersikap lebih peka dengan keadaan sekeliling dan tidak meletakkan diri pada 'zon selesa' sehingga tidak menghiraukan sebarang ancaman di sekitar yang berkemungkinan boleh menjadi satu kejadian jenayah.

Orang ramai perlu melaporkan segera sebarang kejadian jenayah atau perkara yang membawa kepada unsur-unsur jenayah bagi memastikan pihak polis dapat bertindak awal, katanya kepada Bernama di sini.

Zulkarnain juga mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri ketika berhadapan dengan sebarang kejadian jenayah, tanpa menunggu kehadiran polis yang lebih bertanggungjawab untuk menangani kes.

"Jangan sesekali mengambil langkah awal sebelum pihak polis tiba di tempat kejadian, hal ini tidak boleh dipandang remeh ia berbalik kepada kejadian tebusan kanak-kanak semalam. Semasa kejadian, saya dimaklumkan bahawa orang ramai telah terlebih dahulu bertindak memujuk mangsa dan sebagainya sebelum menghubungi polis, jangan cuba hendak jadi hero, ini perkara yang serius," katanya.

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Lain