suria

Pembunuhan Ke Tahap Tak Dapat Dibayangkan Oleh Fikiran Yang Waras

KHABAR dari Guatemala - sebuah negara kecil yang miskin di tengah Amerika Latin - menyebut, jenayah bunuh telah meningkat ke satu angka yang tidak dapat dibayangkan oleh fikiran yang waras.

Dan hampir kesemuanya ada kaitan dengan sindiket dadah.

Negara yang mempunyai 14 juta penduduk itu hampir lumpuh dengan sindiket dadah - sama sepertimana Mexico.

Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Grupo de Apoyo Mutuo (GAM), sejak tahun 2000, angka kematian akibat dibunuh kerana pergaduhan yang berkaitan dengan sindiket dadah telah mencecah 59,532 nyawa iaitu 14,000 pembunuhan dari tahun 2000-2004; 21,511 (2004-2008) dan yang terbaru 24,021 jenayah pembunuhan telah dicatatkan dari 2008-2012.

Apakah mungkin ini menjadikan Guatemala sebagai negara yang paling tinggi di dunia mencatatkan kes kematian akibat dibunuh kerana dadah?

Di kebanyakkan negara yang berhadapan dengan gejala pengedaran dadah yang kronik seperti ini, sindiket telah berakar umbi sehingga ke tahap yang tidak dapat dikawal oleh pihak yang berkuasa lagi.

Akibatnya perang ke atas dadah seringkali menjadi agenda calon presiden apabila mereka menang pilihan raya - bukannya pembangunan dan juga kesejahteraan hidup sepertimana di negara kita.

Dan presiden berhadapan dengan misi yang sangat sukar untuk menghapuskan jenayah ini yang telah berakar umbi di dalam masyarakat dan dikuasai oleh pelbagai pertubuhan bawah tanah dan pertubuhan haram.

Bersyukurlah di negara ini, kita bukan sahaja mempunyai undang-undang membanteras dadah yang kuat dan tegas tetapi juga meliputi pelbagai agensi dan jabatan - daripada pusat pemulihan sehinggalah kepada agensi penguatkuasaan.

Oleh yang demikian, walaupun dadah masih menjadi musuh negara nombor satu tetapi dari sudut sindiket dan kartel, ia masih lagi terkawal dan tidak berleluasa sepertimana yang terjadi di Mexico, Guatemala dan negara-negara Amerika Latin yang lain.

Di sana pembunuhan bukan sahaja berlaku ke atas masyarakat awam yang tidak berdosa malah pembunuhan antara geng atau kartel dadah sudah sampai ke tahap bagaikan perang saudara atau perang gerila.

Hasil wang haram daripada penjualan dadah ini membolehkan kumpulan kartel dadah memperolehi senjata dengan mudah.

Hasilnya ialah perang dadah dalam usaha untuk menguasai pasaran dan juga kawasan.

Dalam kejadian terbaru di Guatemala Sabtu lalu, sekumpulan anggota sindiket dadah telah menyerbu masuk ke kelab malam dan melepaskan tembakan ke arah orang ramai menyebabkan lapan terkorban dan 20 yang lain cedera parah.

Kenapa mereka bertindak demikian? Laporan menyebut ada kemungkinan kelab malam tersebut dimiliki oleh satu kumpulan kartel dadah yang bersaing dengan kumpulan yang melepaskan tembakan.

Amatlah malang bagi rakyat yang hidup dalam negara seperti ini tidak sepertimana kita yang secara umumnya bebas daripada ancaman jenayah seumpama ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 NGO Puas Hati Penjelasan NFC

Artikel Lain