suria

BN Kota Janji Kurangkan Beban Rakyat

HUTAN MELINTANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengotakan janji sejak memerintah negara selepas merdeka membantu rakyat dalam mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka yang semakin meningkat.

Selain itu, Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bantuan seperti BR1M bertujuan memberi peluang kepada keluarga golongan miskin memajukan diri sendiri.

Beliau menyangkal anggapan yang mengatakan kerajaan BN bersungguh-sungguh membantu rakyat ketika hampir pilihan raya termasuk melaksanakan skim BR1M dengan tujuan untuk memancing undi. "Sebaliknya ia merupakan usaha berterusan kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah sebelum dan selepas pilihanraya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan baucar BR1M berjumlah RM500,000 kepada 1,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, di Wisma Umno Bahagian Bagan Datoh, di sini.

"Rakyat wajar berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengilhamkan idea bantuan tersebut semata-mata kerana sikap prihatin beliau terhadap rakyat miskin terutama di kawasan luar Bandar," katanya. Setakat ini seramai 4,000 penduduk di kawasan Parlimen Bagan Datoh sudah menerima baucar BR1M bernilai RM2 juta daripada kerajaan.

Kira-kira 6,000 penduduk di kawasan Parlimen yang sama layak menerima baucar BR1M bernilai RM3 juta apabila permohonan mereka diluluskan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas diproses. Ahmad Zahid berkata, kerajaan BN akan terus membantu rakyat melepasi belenggu kemiskinan sekiranya diberi mandat semula memerintah negara.

Beliau memberitahu sebanyak 1,865 permohonan BR1M di kawasan Parlimen itu terpaksa ditolak kerana borang diisi tidak tepat dan tidak lengkap.

Ahmad Zahid menasihatkan pemohon terbabit menyemak semula borang permohonan mereka dengan LHDN untuk dilengkapi dan dibuat pembetulan.

Seorang penyelia bersara, Jabatan kemajuan Masyarakat (Kemas), Asmuei Marsalam, 70 yang menerima bantuan itu berkata dia tidak menduga dapat menerima wang sebanyak RM500 itu.

"Saya amat gembira apabila terpilih menerima BRIM," katanya ketika ditemui selepas menerima baucer bantuan tersebut.

Beliau yang tinggal di Rancangan Rumah Awam Simpang Empat di sini pernah berkhidmat dengan Kemas selama 35 tahun mempunyai tujuh anak dan tujuh cucu.

Ibu tunggal, Ainah Jumin, 75 dari kampung Sungai Samak dekat sini berasa bangga mempunyai kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat terutama golongan daif di luar bandar.

"Saya akan simpan wang ini dalam bank dan hanya mengeluarkannya apabila perlu," katanya yang memiliki 0.4 hektar tanah kelapa sawit yang memberi pulangan bersih RM700 sebulan.

Warga Emas, A. Muthusamy, 82 yang mempunyai 10 anak dan 10 cucu akan menggunakan wang RM500 berkenaan untuk membeli ubat bagi meringankan penyakit yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.

"Saya dulu bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit tetapi kini tidak mampu lagi melakukan kerja yang sana kerana sudah terlalu tua,“ katanya yang tinggal di taman perumahan Desa Aman dekat sini.

Seorang penduduk Taman Desa Bernam Baru, Choon Thean Foo, 52, berkata wang RM500 itu dibelanjakannya menyambut kedatangan Tahun Baru Cina tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 NGO Puas Hati Penjelasan NFC

Artikel Lain