suria

Dewan Tertinggi BN Tidak Bincang Kepimpinan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada Isnin berkata isu penyusunan barisan kepimpinan parti gabungan itu di Pulau Pinang, termasuk siapa yang akan menjadi ketuanya, tidak dibangkitkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) November lepas.

Kata beliau mengikut perlembagaan parti gabungan itu, sebarang keputusan berhubung perkara tersebut perlu dibuat melalui perundingan dalam kalangan anggota Dewan Tertinggi BN.

"(Perkara) ini tidak dibangkitkan pada mesyuarat November lepas," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di sini.

Koh berkata demikian bagi mengulas laporan portal berita bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan barisan kepimpinan BN Pulau Pinang, esok.

Najib dijadual menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina BN Pulau Pinang di Georgetown, petang esok.

Laporan portal berita berkenaan mendakwa BN akan menamakan Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow sebagai ketua parti gabungn itu di Pulau Pinang, manakala Dr Teng Hock Nan akan terus menyandang jawatan ketua Gerakan negeri dalam usahanya menawan negeri itu daripada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Koh berkata perkara itu mungkin dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang dan bagaimanapun, pengumuman mengenainya merupakan hak Perdana Menteri sebagai pengerusi BN.

Mengenai kedudukan Dr Teng, beliau berkata ketua Gerakan negeri ditentukan melalui pemilihan.

"Berbeza dengan parti lain, jawatan ketua Gerakan negeri dipilih melalui persidangan perwakilan negeri," katanya.

Ditanya sama ada beliau mengesyorkan sebarang nama kepada Perdana Menteri, Koh berkata: "Saya tidak berhasrat mengulas perkara ini secara terbuka."

Beliau juga berkata Gerakan tidak menolak kemungkinan mengemukakan calon daripada pelbagai kaum pada pilihan raya umum akan datang, yang terdiri daripada mereka yang mampu mencapai kemenangan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain