suria

Pekerja Kilang Warga Myanmar Ditemui Mati Di Asrama

KLANG: Seorang pekerja kilang rakyat Myanmar ditemui mati dengan kesan tetakan dan hentakan di kepala di asrama pekerja sebuah kilang besi di Jalan Kapar di sini pagi Ahad.

Mangsa, Nyo Chaw, 36, ditemui tertiarap dengan berlumuran darah di dalam kabin yang dijadikan bilik oleh seorang rakan senegaranya pada pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitendan Mohd Shukor Sulong berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada pengurus kilang terbabit pada pukul 9.52 pagi. Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati telah meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk di bahagian kepala.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang telah empat tahun bekerja di premis itu dipercayai bertengkar dengan seorang rakan sebiliknya, malam semalam namun punca pertengkaran itu tidak diketahui.

Bagaimanapun, rakannya itu disyaki telah melarikan diri selepas kejadian tersebut.

Mohd Shukor berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah pisau pemotong daging dan sebatang besi di luar bilik asrama yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Selain itu, dua dokumen pengenalan diri milik si mati dengan rakan sebiliknya itu turut ditemui, katanya di sini Ahad.

Mohd Shukor tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan adalah akibat pergaduhan antara mangsa dan rakan sebiliknya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini mengesan rakan sebiliknya itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain