suria

Kerajaan Disaran Kenakan Hukuman Penjara Mandatori

KUALA LUMPUR: Kerajaan patut mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan maut di jalan raya, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya itu berkata, kerajaan juga perlu menimbang untuk memperkenalkan skim "pandu selamat, kurang bayaran" yang bermaksud, pemandu yang mengikuti kursus pemanduan berhemah layak dikenakan bayaran premium insurans yang lebih rendah untuk kenderaan masing-masing.

Empat langkah itu adalah antara cadangan yang dikemukakan Lim dalam kenyataannya hari ini untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, khususnya pada musim perayaan. Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengenal pasti semua bahagian jalan raya yang berbahaya dan mengambil langkah untuk mengatasi masalah itu.

Satu lagi perkara yang beliau cadangkan ialah pengajaran silibus berkaitan keselamatan di sekolah untuk menyemai etika baik ketika di jalan raya dalam kalangan golongan muda bagi melahirkan golongan baru pemandu kenderaan dan penunggang motosikal, yang bukan saja mementingkan keselamatan sendiri, tetapi juga keselamatan orang lain.

Lee juga menyarankan agar majikan mewujudkan dasar secara bertulis yang mewajibkan pemandu dan penunggang motosikal mereka mengikuti kursus pemanduan berhemah serta memanfaatkan ciri-ciri keselamatan kenderaan.

Majikan juga perlu meneliti latar belakang seorang yang memohon bekerja sebagai pemandu, katanya.

Memetik statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), beliau berkata jumlah kemalangan kenderaan yang dilaporkan setiap tahun meningkat daripada 19,620 kes pada 2000 kepada 22,040 pada 2010 iaitu peningkatan sebanyak 12.33 peratus.

"Majikan dan pekerja sepatutnya memberi perhatian serius terhadap statistik ini dan bersedia untuk menangani isu berkenaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain