suria

Wanita Maut Kereta Dipandu Bertembung Lori Muatan Gas

BATU GAJAH: Seorang wanita terbunuh apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Batu 8 Jalan Batu Gajah-Tanjung Tualang di sini Sabtu.

Kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu menyebabkan Zaitun Ramli, 35, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Superitendan Shahrul Anuar berkata, ketika kejadian, wanita yang bertugas di Jabatan Perangkaan di sini dalam perjalanan dari Ipoh ke rumahnya di sini.

Zaitun yang memandu sendirian kereta jenis Proton Aeroback dikatakan cuba memotong sebuah kereta di hadapan tetapi gagal lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan, katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan Zaitun tersepit di dalam keretanya yang remuk dan mayatnya terpaksa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

Pemandu lori yang membawa muatan tong gas itu cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain