suria

"Tak Jadi Hal, PAS Memang Rela Lepas Potfolio Agama"

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa parti itu tidak ada sebarang masalah untuk melepaskan portfolio hal ehwal agama di negeri Selangor yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

PAS memang rela, katanya kerana PAS tidak gila kuasa atau pangkat.

Malah beliau turut menyifatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pemimpin yang layak untuk mengambil alih portfolio agama.

Tambah beliau, perubahan portfolio yang dipegang PAS sebelum ini dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat menunjukkan kepimpinan parti itu tidak mengejar pangkat dan jawatan.

"Keadaan ini memperlihatkan kepada umum betapa kepimpinan PAS bukanlah golongan yang mengejar jawatan, bahkan rela diberi kepada orang lain yang difikirkan sesuai dan layak demi memperkasakan jentera pentadbiran," kata Tuan Ibrahim sebagaimana yang tertera dalam blognya; tuanibrahim.blogspot.com.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kecaman banyak pihak termasuk daripada Dr Hasan sendiri mengenai rombakan kecil pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang menyaksikan PAS kehilangan portfolio hal ehwal agama yang sebelum ini disandang oleh wakil parti itu.

Dalam rombakan kecil itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang mengantikan kedudukan Dr Hasan dalam kabinet negeri hanya diberi portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Tuan Ibrahim berkata, kenyataan Abdul Khalid yang memberi pengakuan untuk berbincang dengan PAS dalam isu-isu agama serta merujuk kepada pakar dalam isu hukum menggambarkan sikap berhati-hati kerajaan negeri dalam melaksanakan amanah tersebut.

Sementara itu Tuan Ibrahim turut membidas Umno yang disifatkannya masih berada dalam kotak pemikiran lama khususnya mengenai soal PAS mengekalkan portfolio agama.

"Pemikiran Umno masih berada dalam kotak lama apabila menganggap exco agama mesti diberikan kepada PAS, seolah-olah orang lain tidak layak atau PAS hanya layak pegang exco agama, sedangkan portfolio lain tak layak," katanya lagi.

Artikel Lain