suria

NGO Wanita Perlu Lebih Proaktif - Rosmah

KUANTAN: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mahu badan-badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negara ini lebih proaktif dalam meningkatkan penganjuran program yang selari dengan hasrat kerajaan.

Beliau berkata semua badan-badan NGO perlu menyatupadukan intelek wanita bagi melaksanakan program yang dinamik yang akhirnya dilihat mampu melahirkan idea-idea bernas kepada pembangunan wanita dan negara.

"Di samping itu, bagi memastikan NGO wanita sentiasa relevan di mata rakyat, (wanita) perlulah sentiasa peka terhadap peredaran zaman.

"Rancangkanlah program-program yang boleh menarik minat masyarakat dan tidak tertumpu kepada kalangan pendokong NGO dan lingkungan yang berkenaan sahaja," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama Badan-Badan Amal Wanita negeri Pahang di sini, Sabtu.

Rosmah berkata aktiviti-aktiviti yang dirancang perlulah juga diperluaskan kepada segenap masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, ataupun latar belakang.

Beliau berkata NGO wanita juga sebenarnya boleh memainkan peranan yang lebih besar sehingga ke peringkat global.

"Kita bernasib baik kerana kerajaan, sejak dulu lagi mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita, sungguhpun begitu masih banyak yang perlu dilakukan.

"Wanita bukan sahaja seharusnya diiktiraf sebagai penerima faedah pembangunan bahkan patut diiktiraf juga sebagai agen perubahan," katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pangkalan Udara Kuantan yang menempatkan 26 penghuni yang kurang bernasib baik. BERNAMA

Artikel Lain