suria

Najib Umum Jawatankuasa Wujud Pusat Daftar Setempat Harta Dan Tanggungan Milik Simati 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat malam telah mengumumkan pembentukan jawatankuasa bertindak bagi mewujudkan Pusat Daftar Setempat Harta dan Tanggungan Milik Simati 1Malaysia.

Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu akan diterajui oleh Amanah Raya Bhd yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran pusaka dan dianggotai semua pihak yang relevan.

Pusat itu nanti akan mempercepatkan pengesahan harta dan hutang simati serta dengan cepat oleh waris serta semua pihak yang berkepentingan, katanya di dalam teks ucapannya bagi Perasmian Sambutan 90 tahun Amanah Raya dan pelancaran Yayasan Amanah Raya di sini.

Teks ucapannya telah dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Kita telah dengar macam-macam permasalahan birokrasi, prosedur dan kecekapan dalam membuat wasiat, mahu pun menuntut wasiat.

"Dengan adanya pusat ini, segala proses dapat dibuat dengan lebih mudah dan mengurangkan kesengsaraan waris yang baru kehilangan orang tersayang," kata Najib.

Jumlah "Harta Pusaka Menunggu Dituntut" sebanyak RM126 juta sehingga Disember 2011 menurut Amanah Raya dapat dimanfaatkan jika harta pusaka itu dituntut oleh waris-waris, katanya.

Najib turut menyarankan agar Amanah Raya menghasilkan produk Islamik yang lebih inovatif memandangkan produk Islam Malaysia mempunyai potensi yang amat besar di Bahrain, Tartarstan, Rusia dan Kazakhstan.

"Kejayaan Amanah Raya memperkenal dan memasarkan jenama Amanah Raya di peringkat antarabangsa perlu diteruskan terutama di negara-negara Timur Tengah serta bekas negara Islam yang dahulunya di bawah Soviet Union," katanya.

Menyentuh mengenai pelancaran Yayasan Amanah Raya, Najib berkata ia akan menjadi sebuah yayasan yang neutral, bebas, bertindak dan berfungsi bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut mengumumkan dan mengesahkan pelantikan empat orang Pemegang Amanah Asas Yayasan Amanah Raya diketuai oleh Pengerusi Amanah Raya Datuk Dusuki Ahmad, tokoh pendidikan Tan Sri Arshad Ayub, tokoh kewangan Datin Aminah Pit Abd Ramah dan Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh. - BERNAMA

Artikel Lain