suria

Wanita Ditembak Dalam Cubaan Samun Kereta Di Johor Baharu

JOHOR BAHARU: Seorang wanita cedera apabila ditembak dalam cubaan untuk menyamun kereta Toyota Camry keluarganya di Jalan Landak, Taman Abad di sini awal hari Jumaat.

Kejadian pada pukul 1.10 pagi itu menyebabkan Lim Sui Kim, 62, cedera di paha kanan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini.

Lim yang ditemui di hospital itu pada Jumaat berkata empat lelaki, dua daripadanya bertopeng, memecahkan kunci pagar untuk memasuki kawasan rumah teres setingkat mereka dan meminta suami saya menyerahkan kunci kereta.

"Tapi suami saya kata kunci itu telah dibawa oleh anak lelaki saya yang bekerja di Singapura dan melihat keadaan itu, saya yang berada di dalam bilik terus menghubungi polis," katanya

Beliau berkata tindakannya itu disedari lelaki-lelaki terbabit dan seorang daripada mereka memasuki bilik itu lalu melepaskan tembakan yang menembusi paha kanannya.

Mereka kemudian melarikan diri bersama beg duit mangsa yang mengandungi sedikit wang tunai dan kad pengenalan.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob yang ditemui di tempat kejadian berkata siasatan awal polis menemui sebatang besi kuku kambing yang dipercayai diguna untuk memecahkan kunci pintu pagar rumah mangsa.

Beliau berkata pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk memburu penjenayah terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian hotline 07-221 2999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain