suria

Syarikat Terbitan Langkah Terbaik Bantu Usahawan Siswazah - Saifuddin

Dr Mohd Saleh (kiri) dan Norhalim (kanan) menukar dokumen perjanjian pengkormesilan di bawah Program Keusahawanan UPM dan MTDC sambil disaksikan oleh Saifuddin (tengah). Foto ihsan UPM.
Dr Mohd Saleh (kiri) dan Norhalim (kanan) menukar dokumen perjanjian pengkormesilan di bawah Program Keusahawanan UPM dan MTDC sambil disaksikan oleh Saifuddin  (tengah). Foto ihsan UPM.
Dr Mohd Saleh (kiri) dan Norhalim (kanan) menukar dokumen perjanjian pengkormesilan di bawah Program Keusahawanan UPM dan MTDC sambil disaksikan oleh Saifuddin (tengah). Foto ihsan UPM.

SERDANG: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah pada Jumaat berkata, syarikat terbitan atau 'start up' merupakan antara langkah terbaik bagi membantu mengatasi masalah yang sering dihadapi oleh usahawan siswazah termasuk usahawan muda.

Syarikat seperti ini, katanya, adalah syarikat yang baru bertapak dalam dunia perniagaan dan mempunyai modal teroka (modal yang dilaburkan untuk syarikat usaha niaga oleh pelabur yang bukan pemilik asal syarikat itu).

“Lazimnya, kalau dia (usahawan) pergi ke bank mereka akan mengalami masalah (mendapatkan pinjaman) maka ‘nyawa’ bagi syarikat terbitan adalah modal teroka.

“Apabila siswazah ingin menceburi dunia keusahawanan, dua masalah utama yang akan dihadapi mereka iaitu mentor dan jaringan.

"Jadi syarikat terbitan merupakan salah satu langkah terbaik bagi membantu mereka untuk mengatasi masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pengkomersilan di bawah Program Keusahawanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) di sini, Jumaat.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar dan Ketua Eksekutif MTDC, Norhalim Yunus.

Saifuddin berkata, seperti MTDC, organisasi itu menyediakan dana, mentor dan jaringan bersesuaian dengan penubuhan syarikat terbitan.

“Kekuatan universiti adalah ilmu dan penyelidikan. MTDC menyediakan pakej lengkap itu. Ini yang dinamakan kerjasama antara universiti dan industri,” katanya.

Sebelum ini beliau berkata, mungkin masalah usahawan muda hanya disebabkan modal tetapi sebenarnya ia turut melibatkan sebab-sebab lain.

Baru hendak berniaga, siapa nak bantu jadi penasihat? Di situlah perlu ada mentor. Di mana pasarannya? Di situlah perlu ada jaringan.

“Ini (syarikat terbitan) adalah syarikat yang baru nak mula. Manalah budak-budak yang baru keluar dari universiti ada tanah atau apa-apa untuk dicagarkan (sebagai modal).

“Yang ada adalah idea dan datangnya daripada penyelidikan (di universiti). Saya boleh gambarkan ia sebagai usahawan ada, idea atau produk dah ada tetapi belum sampai ke kilang tetapi bank tak nak bagi pinjaman lagi.

“Inilah masa yang kritikal. Maka modal teroka yang perlu bantu mereka,” katanya.

Saifuddin berkata, program syarikat terbitan memainkan peranan untuk mengumpul dan mengambil idea-idea yang baik dan memfasilitinya sebagai produk komersial.

“Syarikat terbitan di negara ini masih baru. Justeru, saya menyeru lebih banyak pihak swasta tampil untuk membantu usahawan siswazah yang mempunyai idea bagi menjadikannya sebagai produk komersial,” katanya.

Artikel Lain