suria

Saiful Minta Rayu Kes Liwat

KUALA LUMPUR: Pengadu dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Khamis menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail meminta beliau memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari lepas.

Mohd Saiful Bukhari menerusi blog miliknya mohdsaifulbukhari.blogspot.com menulis bahawa surat itu dihantar melalui peguamnya Tetuan Zamri Idrus & Co.

Katanya beliau terpaksa menghantar surat rasmi memandangkan pihaknya belum mendapat maklum balas daripada Abdul Ghani berkenaan notis rayuan tersebut.

"Sehingga ke hari ini tiada maklum balas terhadap permohonan terbuka saya dan bapa dari Peguam Negara sama ada beliau akan memfailkan rayuan atau tidak. Masa juga semakin suntuk.

"Rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depan saya. Saya hanya menuntut hak saya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan di mana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi dan saya berdoa agar Peguam Negara mempertimbangkan permohonan saya ini," katanya.

Katanya jika beliau berhak memfailkan rayuan itu sendiri, beliau akan berbuat demikian tanpa menyusahkan individu lain.

Namun, katanya kuasa mutlak untuk memfailkan rayuan hanya terletak di tangan Peguam Negara.

Pada 9 Januari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari yang juga bekas pembantunya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya, berkata beliau mendapati tidak ada bukti yang menyokong keterangan Mohd Saiful.

Peguam Negara mempunyai masa sehingga esok untuk memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu. BERNAMA

Artikel Lain