suria

Permit Teksi Yang Tidak Digunakan Lebih Dari Setahun Tak Akan Diperbaharui

JOHOR BARU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menegaskan bahawa mereka tidak akan menyambung permit teksi yang tidak digunakan lebih dari setahun.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, terdapat ramai pemegang permit yang menerima surat kelulusan permit tetapi mengambil tempoh sehingga lebih dari setahun untuk beroperasi.

"Kami telah temui banyak kes seperti ini dan dengan itu mengambil keputusan tegas untuk tidak memperbaharui permit yang tidak digunakan tetapi telah mati," katanya selepas mengadakan dialog dengan pemandu-pemandu teksi di Hotel Thistle Hotel dekat sini, Jumaat.

Mereka yang memperolehi permit teksi diberikan tempoh setahun untuk memperolehi lesen khas daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), membeli kereta yang sesuai untuk dijadikan teksi serta memperolehi kelulusan dan pemeriksaan Puspakom dan sebagainya.

Syed Hamid berkata, apa yang menjadi amalan sekarang ialah selepas menerima surat kelulusan permit, pemegang permit dibenarkan memperbaharui kelulusan itu setiap tahun jika tidak menggunakannya.

Ini kata Syed Hamid adalah satu cara untuk mengawal permit teksi daripada berlebihan.

Buat masa ini terdapat 90,000 teksi di seluruh negara.

Artikel Lain