suria

Modul Latihan Untuk Pelatih PLKN Gemuk Dijangka Diperkenal Julai Ini

BANTING: Modul latihan khas kecergasan bagi pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang gemuk dijangka dilaksanakan pada pengambilan Kumpulan Ketiga pelatih program itu Julai ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Kajian dan modul latihan bagi mereka yang gemuk ini dibangunkan oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) untuk memperhalusi modul-modul latihan untuk golongan remaja itu, katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian Pangkat Pelatih PLKN Kumpulan 1 Siri9/2012 di Kem PLKN Jugra di sini, Khamis.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata di bawah modul latihan itu nanti, pelatih yang mempunyai Indeks Jisim Badan melebihi 30 akan diberi pengecualian daripada aktiviti fizikal yang berat seperti 'flying fox', rempuh halangan dan aktiviti air.

Abdul Hadi juga berkata kebanyakan daripada lebih 400 pelatih PLKN yang mengikuti modul I-SMART setelah didapati mereka tidak boleh membaca dan menulis telah menunjukkan peningkatan melalui kelas petang yang diadakan selama sejam selepas tamat latihan harian mereka.

Ada lima tahap yang digunakan dalam program ini bagi membolehkan tahap celik huruf mereka diukur dan dipertingkatkan bagi membantu mereka di alam pekerjaan nanti.

"Keadaan ini bukan kesilapan Kementerian Pelajaran kerana pemilihan pelatih PLKN di buat secara rawak, ada yang tidak bersekolah, ada yang belajar sehingga Tingkatan Tiga sahaja," katanya.

Program I-SMART ini dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran dan diperkenalkan dalam PLKN pada Ogos tahun lepas.

Pada majlis itu, Abdul Hadi memakaikan pangkat iaitu epolet khas PLK Nkepada 20 pelatih iaitu Ketua Keseluruhan Pelatih Kem Jugra, Ketua Wira (pelatih lelaki), Ketua Wirawati (pelatih wanita), Ketua Wira dan Wirawati dan Penolong Ketua Wira dan Wirawati bagi Kompeni Alpha, Bravo, Charlie dan Delta.

Beliau juga sempat beramah mesra dengan para pelajar dan ibu bapa mereka yang hadir pada majlis penyampaian limau mandarin sempena cuti Hari Raya Cina untuk para pelatih yang bermula pada Jumaat.

"Keputusan Jemaah Menteri telah memberikan peluang kepada pelatih-pelatih untuk bercuti lebih lama iaitu mulai 20 Jan sehingga 26 Jan depan daripada cuti asal iaitu dari 21 hingga 25 Januari ini," katanya.

Ibu bapa yang hadir dibenarkan membawa pulang anak masing-masing, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain