suria

Kerajaan Tanggung Subsidi RM18.92 Billion Untuk 2012 - Ismail Sabri

BERA: Kerajaan dijangka menanggung bebanan subsidi berjumlah RM18.92 billion bagi barang-barang kawalan bersubsidi pada tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM17 billion diperuntukkan untuk subsidi bahan api iaitu petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), RM1.2 bilion (minyak masak), RM567 juta (gula) dan selebihnya untuk tepung gandum.

"Pada tahun 2010, kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM17 billion bagi subsidi tersebut, dan subsidi untuk barang kawalan dijangka terus meningkat tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada 300 penduduk kaum India dan Cina di kawasan Parlimen Bera di sini, Jumaat.

Ismail Sabri berkata peningkatan subsidi itu adalah kerana senario kenaikan harga yang turut berlaku di seluruh dunia ketika ini.

"Antara faktor kenaikan harga barangan itu ialah peningkatan penduduk dunia sebanyak empat peratus sedangkan pengeluaran makanan dunia hanya meningkat sebanyak satu hingga dua peratus sahaja," katanya.

Selain itu, katanya keadaan cuaca tidak menentu seperti kemarau berpanjangan dan kejadian bencana alam lain menyebabkan pengeluaran barangan makanan terjejas di beberapa negara pengeluar utama.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa berusaha memastikan rakyat di negara ini tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan.

"Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan harga barangan keperluan seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, petrol RON95, diesel dan gas LPG sentiasa terkawal dan stabil," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain