suria

Kerajaan Malaysia Sumbang Bantuan Kemanusiaan US900,000 Kepada Filipina

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menyumbangkan US$900,000 (kira-kira RM2.8 juta) kepada kerajaan Filipina untuk membantu membina semula kehidupan mangsa ribut tropika dan tanah runtuh di Mindanao baru-baru ini.

Bantuan itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kepada Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Albert F. del Rosario di Manila pada Jumaat, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar di sini, Jumaat.

Anifah, yang sedang mengadakan lawatan kerja ke Filipina, berbincang mengenai kerjasama dua hala dan isu lain melibatkan kepentingan bersama dengan Rosario.

Ini kali kedua kerajaan Malaysia menghulurkan sumbangan kemanusiaan kepada kerajaan Filipina. Kali pertama, sumbangan US$100,000 (RM310,395) diserahkan oleh Anifah kepada Duta Filipina ke Malaysia Jose Eduardo E. Malaya III bulan lepas.

Lebih 1,000 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 350,000 orang kehilangan tempat tinggal apabila ribut tropika Sendong melanda bulan lepas dan turut memusnahkan infrastruktur termasuk jambatan, sekolah dan jalan raya bernilai berbilion-bilion ringgit.-BERNAMA

Artikel Lain