suria

Datuk S. Subramaniam Dibenar Pulang Tapi Masih Belum Boleh Berkomunikasi

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam yang menjalani pembedahan otak November lepas dibenarkan pulang ke rumahnya di Jalan Gasing, Petaling Jaya semalam.

R. Balakrishnan, bekas setiausaha beliau yang juga kawan rapatnya berkata, keadaan kesihatan ahli politik veteran itu bertambah baik selepas mendapat rawatan fisioterapi di Pusat Perubatan Gleneagles Ampang, namun beliau masih belum boleh berkomunikasi.

"Keadaan beliau semakin baik, sudah boleh membuka mata, tangan dan jarinya juga boleh digerakkan tetapi masih tidak boleh berkomunikasi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata doktor yang merawatnya memaklumkan Subramaniam dijangka hanya boleh mula berkomunikasi dan mengenali orang di sekelilingnya dalam masa satu hingga dua bulan lagi.

Untuk itu katanya, doktor telah menyarankan supaya beliau dibawa pulang ke rumah untuk memberi lebih keselesaan dan mewujudkan suasana rumah agar proses penyembuhan lebih cepat berlaku selepas kira-kira dua bulan berada di hospital.

Subramaniam dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai di sini pada 12 November lalu selepas mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menjalani pembedahan otak lebih lima jam sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Gleneagles Ampang hujung Disember tahun lepas untuk rawatan fisioterapi.

Subramaniam, 67, ialah bekas Anggota Parlimen Segamat dari 1990 hingga 2004 dan juga bekas timbalan menteri.

Beliau pernah berkhidmat di beberapa kementerian, antaranya Kementerian Pertanian, Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. -BERNAMA

Artikel Lain