suria

Warga Emas Maut Dalam Kejadian Langgar Lari

KOTA BAHARU: Seorang lelaki warga emas yang menunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Kota Baharu-Pasir Puteh berhampiran Kampung Guntong, di sini, Khamis.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, Daud Manap, 67, yang tinggal di Pondok Pasir Tumbuh di sini dan berasal dari Taman Pemerak, Tanjong Ipoh, Negeri Sembilan, mati di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata Daud dikatakan cuba menyeberangi jalan sebelum sebuah kereta dari arah Pasir Tumboh ke Peringat merempuh motosikalnya dari belakang.

"Kereta berkenaan dipandu laju dan cuba mengelak motosikal yang ditunggang mangsa, namun gagal dikawal dan merempuh bahagian belakang motosikal terbabit.

"Akibat rempuhan itu mangsa melambung dan tercampak di atas bonet kereta berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan raya," katanya ketika dihubungi di sini.

Idris berkata pemandu kerata terbabit melarikan diri dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di talian 09-775 2229 atau balai polis berhampiran.

Idris berkata keluarga mangsa yang tinggal di Negeri Sembilan telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pondok Pasir Tumboh, malam ini.

Daud dikatakan tinggal di Pondok Pasir Tumboh itu kira-kira tiga tahun lepas untuk mendalami ilmu agama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain