suria

Wanita Ditemui Mati Dibunuh Di Taman Permainan

NILAI: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan terlentang dengan kesan tikaman di leher di taman permainan di kawasan perumahan Taman Desa Melati, di sini Rabu.

Mayat wanita berusia 51 tahun itu yang lengkap berpakaian dan bertudung ditemui seorang penduduk pada pukul 7 pagi Rabu ketika sedang berjoging di taman tersebut.

Ketua Polis Daerah Nilai Superitendan Mohd Yusoff Awang berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh antara pukul 2 hingga 3 pagi.

"Pada mulanya orang awam berkenaan menyangka wanita tersebut sedang tidur, namun apabila ternampak darah dia terus menghubungi polis dan apabila sampai kita mendapati wanita tersebut telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini. Mohd Yusoff berkata, polis percaya kes itu tidak bermotifkan samun kerana barang kemas, kunci kereta dan telefon bimbit berada pada mangsa selain tiada kesan pergelutan ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, polis turut menemui kereta jenis Proton Saga berwarna biru milik mangsa yang diletak kira-kira 40 meter dari mayat mangsa, manakala dompet berisi wang tunai serta dokumen peribadi yang lain dijumpai dalam kenderaan tersebut.

Siasatan awal juga mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Pasir Puteh, Labu dekat sini bekerja di sebuah pusat peranginan di Port Dickson.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain