suria

PKR Gesa Kerajaan Bentang Siasatan Audit Di Parlimen

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik keputusan kerajaan melantik firma perundingan perakaunan yang berperanan menjalankan penelitian wajar dan audit terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Bagaimanapun Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli menggesa kerajaan mengumumkan terma dan skop tugas audit yang bakal dilantik termasuk membentangkan keputusan siasatan di Dewan Rakyat pada persidang Mac depan.

"Keberkesanan audit yang bakal dijalankan dalam menangani skandal ini akan bergantung kepada skop audit dan bidang kuasa yang diberikan kepada firma juruaudit yang dilantik kelak," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Khamis.

Selain itu PKR juga mencadangkan enam skop utama yang wajar diberi perhatian firma audit itu termasuk menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri.

Mohd Rafizi turut menggesa firma audit itu menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian Kewangan bagi menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik.

"Audit juga perlu menyiasat setiap perbelanjaan NFC bagi memastikan ia menepati matlamat penubuhannya termasuk memastikan bahawa setiap perbelanjaan adalah berpatutan, berpada-pada, diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu seperti yang dimandatkan kepada NFC," katanya.

Dalam pada itu Mohd Rafizi turut menggesa audit menyiasat transaksi wang keluar daripada NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tidak ada unsur penyelewengan pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang dipertanggungjawab atau berkaitan dengan NFC.

"PKR juga berharap mereka menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga sekarang termasuk pembayaran besar dan berkala oleh NFC," katanya.

Media baru-baru ini melaporkan aset NFC dibekukan bagi membantu siasatan dakwaan berlaku penyelewengan dana kerajaan dalam projek yang turut dikaitkan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan pembekuan aset berkenaan turut meminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menjalankan kajian untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menangani kes itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain