suria

Perjuangan Islam Bukan Hanya Berlandaskan Satu Portfolio - Mahfuz

PETALING JAYA: Perjuangan Islam yang dilakukan oleh PAS bukan hanya berlandaskan satu portfolio semata-mata tetapi sebenarnya dilakukan dengan banyak cara secara meluas, kata Naib Presiden parti, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengulas mengenai pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu terhadap rombakan kecil portfolio Exco Kerajaan Negeri Selangor dan pada masa yang sama mengambil alih sendiri portfolio Pengerusi Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu yang sebelum ini disandang oleh wakil PAS iaitu Datuk Dr Hasan Ali.

“Kita jangan melihat perjuangan Islam di Selangor khususnya hanya boleh dilakukan oleh parti dengan portfolio exco. Ia bukan hanya berlandaskan satu portfolio semata-mata.

“Banyak cara dengan meluas boleh dilakukan. Tidak semestinya dengan (portfolio berkaitan dengan) hal ehwal Islam walaupun itu yang dilakukan oleh PAS selama ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Rombakan kecil yang dibuat pada Rabu itu berikutan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru menggantikan Dr Hasan.

Dr Ahmad Yunus diberi tanggungjawab menerajui portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Pada masa yang sama Mahfuz juga berkata tidak menjadi hal menteri besar mengambil alih portfolio hal ehwal agama kerana selaku ketua eksekutif negeri beliau mempunyai lebih banyak kuasa untuk melaksanakan apa jua dasar berhubung hal ehwal agama Islam.

“Beliau (Abdul Khalid) lebih berkuasa dan saya percaya beliau lebih faham. Pengambilalihan (porfolio) itu mungkin bertujuan untuk memperbaiki masalah yang berlaku (dalam hal ehwal Islam) sebelum ini,” katanya.

Menurut Mahfuz, dengan porforlio baru yang diterajui Dr Ahmad Yunus sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan juga boleh memperjuangkan Islam di Selangor.

Ini kerana katanya, banyak cabaran dalam mengendalikan portfolio berkenaan terutama berkaitan dengan isu sosial dalam masyarakat Melayu dan golongan belia.

“Porfotlio (Dr Ahmad Yunus) tidak ada kurangnya. Malah boleh mendidik masyarakat terutama golongan belia dalam menangani masalah sosial yang selama ini terpesong daripada akidah Islam. Ini juga boleh diperbetulkan dengan baik.

"Perjuangan Islam yang dilakukan oleh PAS itu sudah pasti (dalam pelbagai cara)," katanya yang tidak menolak kemungkinan PAS mampu meraih sokongan di kalangan belia di Selangor untuk pilihan raya umum akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain