suria

Penonjolan Kuasa Dengan Senjata Hanya Akan Undang Bantahan:Surin

KUALA LUMPUR: Penonjolan negara-negara kuasa besar dengan senjata bahaya di pentas global tidak lagi efektif kerana ia hanya akan mengundang bantahan daripada negara lain, kata Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan.

Pada sesi perbincangan pada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (ICGMM) di sini Khamis, beliau berkata terdapat keperluan untuk mencari jalan bagi menggunakan kuasa itu dengan bijaksana.

Keadaan akan menjadi lebih baik jika negara-negara kuasa besar boleh menggunakan "kuasa berlembut" dalam melaksanakan agenda mereka sendiri, katanya.

"Kita perlukan cara baru dalam menguruskan kuasa dan hal ehwal dunia. Perang di Iraq dan Afghanistan mungkin menunjukkan kepada kita bahawa ketenteraan mungkin mempunyai sistem senjata moden, tetapi tidak boleh mendapat kawan dan tidak dapat mempengaruhi orang selama-lamanya," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, negara-negara kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat, sudah mula menyedari bahawa mereka mungkin memerlukan kuasa jenis baru atau pendekatan baru untuk menonjolkan kuasa mereka.

"Malahan walaupun mempunyai kuasa besar dan keyakinan tinggi, dan penonjolan kuasa di pentas global, para intelektual di AS mengakui kuasa itu ada batasnya. Mereka perlu menilai semula penggunaan kuasa yang ada pada mereka," katanya.

Katanya penggunaan senjata bahaya dari jarak jauh untuk menyerang negara-negara dalam perang mencerminkan tiada hubungan sesama manusia, tidak sepertimana dalam perang di Vietnam apabila anggota tentera dipaksa berinteraksi dengan penduduk tempatan.

Sebagai kuasa kesederhanaan di kalangan komuniti global, Surin berkata Asia Timur telah sekian lama mengamalkan kuasa berlembut untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan yang baru di dunia.

"Saya percaya kuasa berlembut ini atau kuasa bestari lebih diamalkan di sini di Asia Timur daripada tempat lain di dunia. Harapan kami ialah kami tidak akan mengundang konfrontasi, pertandingan, ketidakstabilan dan rasa tidak selamat, sepertimana yang berlaku di bahagian lain di dunia. Pertandingan juga akan mengundang rasa tidak selamat dan ketidakstabilan," katanya.

Surin berkata gesaan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bagi keseimbangan dinamik tidak bermakna berlaku pertandingan secara langsung bagi kuasa baru, tetapi saling bertolak ansur dan berkongsi kepentingan bersama untuk membolehkan rantau ini terus menjadi jentera pertumbuhan dalam komuniti global.

"Kami tidak mahu bertanding dengan sesiapa, tetapi pada masa yang sama kami tidak mahu melihat mana-mana pihak mendominasi, yang hanya akan menjejaskan keseimbangan dinamik yang kami mahu wujudkan di rantau ini," katanya.

Katanya beliau berharap perbincangan mengenai permuafakatan kesederhanaan tidak hanya terbatas kepada komuniti-komuniti agama.

Beliau berkata ICGMM perlu mencerminkan usaha kesederhanaan yang telah sekian lama diamalkan oleh Asean dan Asia Tenggara, termasuk saling bekerjasama dan menyesuaikan diri antara satu sama lain dan membangunkan rasa hormat antara satu sama lain.

Beliau memuji usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menganjurkan persidangan itu, menyatakan masanya adalah tepat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain